Bahasa melayu

Orangutan Project Sdn Bhd ialah syarikat konservasi bukan berteraskan keuntungan yang menawarkan cara alternatif dan kelansungan dalam carian dana untuk hidupan liar terancam di Borneo. Kami juga mempunyai kepakaran khusus dalam menawarkan pengalaman pelancongan dan sukarelawan yang beretika, berkhidmat membantu orangutan dan spesis dilindungi lain seperti harimau dahan, binturong, beruang madu dan buaya jenjulung.

Laman web kami ditulis dalam bahasa Inggeris. Sekiranya anda ingin menyertai program sukarelawan orangutan atau membantu kami dalam bidang lain, anda perlu mempunyai kebolehan bertutur dalam bahasa Inggeris. Walau bagaimanapun, kami mempunyai kakitangan dan sukarelawan yang boleh bertutur dalam pelbagai bahasa, jadi anda boleh mendapatkan maklumat asas mengenai kami disini!

Kami beroperasi di Borneo dan berpusat di Matang Widlife Center berdekatan bandar Kuching di Sarawak, Malaysia. Selain itu, kami juga menumpukan masa di Ketapang yang terletak di Kalimantan, Indonesia juga di kepulauan Borneo. Orangutan Project diasaskan oleh Leo Biddle, namun dimiliki sepenuhnya oleh kakitangan tempatan. Kami menguruskan projek sukarelawan orangutan di dua lokasi ini, dan kami berusaha keras dalam mempromosikan program pelancongan dan sukarelawan beretika terutamanya yang melibatkan haiwan.

Pelancong yang inginkan pengalaman bekerja disamping haiwan terancam di negara membangun selalunya mudah mendapatkan pilihan yang menyalahgunakan dan mengeksploitasi haiwan-haiwan ini. Mereka selalunya tidak sedar yang perkara sebegini berlaku. Kami sangat komited membangunkan projek sukarelawan dan pelancongan yang memberi faedah kepada haiwan dan peserta, dan kami juga boleh dijadikan sumber bagi mereka yang ingin belajar mengenai cara menjalankan projek ini secara beretika. Kami berharap dapat melihat perubahan dalam standard pelancongan dan melihat lebih ramai membuat pilihan mengikut etika dan tanggungjawab yang betul dalam merasai pengalaman bersama haiwan. Kami sudah memulakannya menerusi projek sukarelawan orangutan dan haiwan dari pelbagai spesis lain dan akan terus mengembangkan lagi projek kami.

Produk pelancongan yang melibatkan orangutan selalunye memberi fokus kepada interaksi secara dekat dan peluang bergambar bersama mereka. Kehendak pelancong diberikan keutamaan dan ini bukanlah amalan yang baik untuk haiwan yang terlibat. Tanggapan bahawa kepuasan pelancong yang berkunjung ke pusat rehabilitasi orangutan bergantung sepenuhnya atas peluang berinteraksi secara dekat dengan haiwan ini amatlah kami sangkal. Amalan pelancongan ini memberi kesan negatif kepada tingkah laku dan kesihatan orangutan. Pelancong haruslah diberi penerangan mengenai kesan buruk ini supaya mereka lebih menghormati haiwan dan meningkatkan minat mereka berkenaan isu-isu konservasi dan seterusnya mengelak daripada interaksi yang mendatangkan kesan buruk kepada haiwan terlibat. Kami melihat usaha berunsur pendidikan ini sebagai faedah bernilai daripada hasil kerja kami.

Walaupun usaha kami tertumpu di Matang, kami juga memberi tumpuan kepada beberapa usaha lain. Usaha memelihara hidupan liar yang terancam tidak akan berjaya hanya dengan membantu pusat rehabilitasi semata-mata. Atas sebab ini kami juga menjalankan usaha memelihara hutan supaya kami boleh menghentikan lebih banyak haiwan yang terpaksa dihantar dipusat ini. Sebahagian usaha ini diuruskan sepenuhnya oleh pihak kami; sebahagian lain diserahkan kepada agensi NGO dan badan sukarela, dan kami dapat memberikan mereka wang yang dikumpulkan menerusi projek sukarelawan, initiatif pelancongan, pelaburan perniagaan, produk pendidikan dan pelancongan kami.

Sila lihat keseluruhan laman web ini untuk maklumat lebih lanjut mengenai syarikat dan aktitivi yang kami jalankan. Sekiranya anda mempunyai minat terhadap orangutan, usaha konservasi atau ingin melibatkan diri dalam bidang yang memberi kepuasan ini dalam jangka masa pendek atau panjang, sertai kami sebagai sukarelawan! Anda boleh menghubungi kami menerusi laman web ini atau sertai Facebook group kami, Project Orangutan untuk maklumat lanjut.

Akhir sekali, sekiranya anda melancong keluar negara dan inginkan interaksi dekat bersama haiwan eksotik, sila lihat dan fikirkan maklumat berikut sekiranya anda diberi peluang bergambar atau berada dekat dengan haiwan tersebut:
• Sekiranya haiwan tersebut masih kecil, dimanakah ibunya dan bagaimana mereka mendapatkan haiwan tersebut?
• Sekiranya anda dikenakan bayaran untuk bergambar bersama haiwan, dapatkah anda pastikan yang bayaran tersebut akan membantu haiwan tersebut? Adakah kebajikan haiwan tersebut terjaga?
• Adakah anda diminta mematuhi prosedur kuarantin, dibasmi kuman dan diminta memakai topeng pernafasan? Adakah mereka mengambil langkah menghentikan penyebaran kuman yang boleh menjangkiti haiwan mereka; terutamanya primat?
• Ia mungkin peluang sekali seumur hidup bagi anda, namun tidak bagi haiwan tersebut yang terpaksa melaluinya setiap hari tanpa henti.
• Adakah hanya kerana anda ingin memegang haiwan seperti orangutan/anak harimau/anak beruang, dan anda mampu membayar untuk peluang ini, maka anda perlu melakukannya?
• Akhir sekali dan yang paling penting, adakah pengalaman yang ditawarkan ini mengambil kira faedah terbaik untuk haiwan tersebut? Atau adakah mereka sekadar menjadi mangsa?

Syarikat pelancongan dan sukarelawan harus bertanya diri sendiri:

Adakah kita mengaut keuntungan bagi membantu haiwan tersebut atau kita menggunakan haiwan tersebut untuk keuntungan kita sendiri?!